Thursday, November 7, 2019

DOKUMEN BISNES

Menjalankan bisnes bertahun-tahun, jualan semakin rancak tetapi apabila tanya tentang dokumen. Kita garu kepala, jungkit bahu sebab satu dokumen pun kita tidak simpan.

Apabila pelanggan minta resit, kita jawab “Takdelah dik” Kalau yang tanya pegawai LHDN?Tak ke haru-biru perniagaan kita.

Tahukah Anda?

Kegagalan menyimpan rekod akan menyebabkan denda sehingga RM10,000 atau penjara 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Terkejut tak? Remeh ke lagi perkara tentang dokumen ini?

Kita tidak perlu berbelanja lebih untuk menyiapkan dokumen atau resit yang eksklusif dan mahal cukup sekadar beli di kedai alat tulis dan letak cop syarikat (nama, alamat dan nombor pendaftaran perniagaan) anda di setiap helaian. Itu pun sudah memadai sebagai permulaan bisnes. Sudahlah mudah, murah pulak tu.


Senarai dokumem bisnes yang kita sekurang-kurangnya harus ada adalah:

✅ Baucer Pembayaran

 - Setiap duit keluar melalui akaun bank, tidak kiralah cek, online transfer ataupun ATM, mesti dikepilkan bersama Baucer Pembayaran 

 - Inilah bukti untuk ingatkan kita apa yang kita pernah beli, di mana dan berapa harganya

✅ Baucer Tunai


- Setiap duit keluar melalui tunai, mungkin dari Petty Cash, mungkin dari duit kedai mesti dikepilkan bersama Baucer Tunai

 - Inilah yang selalu bocor, mudah sangat kita guna tanpa usul periksa, tanpa berfikir panjang. Tahu-tahu duit dah habis 

✅ Invois Jualan @ Resit

- Kita sebagai pemilik bisnes kena tahu lah, kita sepatutnya kena keluarkan resit atau invois. Itu sebab kena belajar, kalau kita bertangguh-tangguh, selamanya kita dalah kejahilan. Orang dah ke bulan, kita masih merangkak lagi.

 - Invois jualan adalah dokumen yang kita keluarkan apabila pelanggan terima produk atau servis dari kita dahulu dan bayar kemudian mungkin kita bagi dia masa 30 hari atau 60 hari terma kredit. Jadi kita kena keluarkan Invois Jualan dahulu.

- Lepas pelanggan bayar, kita keluarkan resit pula sebagai bukti Invois Jualan tadi sudah dibayar. 

- Kalau pelanggan ambil barang terus bayar? Cukup dengan kita beri resit. Kalau dia taknak resit? Takpe, yang penting salinan resit kita simpan. Apa-apa jadi boleh rujuk balik, boleh tengok balik atau boleh lawan balik

✅ Tambahan: Sebutharga, Pesanan belian

- Sebutharga ini biasanya pelanggan akan minta atau kita akan terima dari pembekal sebagai satu janji harga sekiranya dipersetujui. Zaman sekarang sekadar bagi sebutharga tidak rasmi melalui whatApps. 

- Pesanan belian pula dikeluarkan sebelum Sebutharga. Kita keluarkan Pesanan Belian untuk nyatakan barang dan kuantiti barang yang kita berhasrat untuk beli sekiranya harga dalam sebutharga menepati bajet kita

Dokumen - dokumen ini semua kena simpan elok-elok. Bukan untuk kita sahaja faham, tetapi untuk orang lain juga faham. Dokumen bisnes inilah yang kita kena simpan nak elak bayar cukai tinggi. Dokumen bisnes inilah kita kena simpan supaya mudah untuk kita atau Akauntan rekodkan akaun untuk kita.

Kenapa perlu rekod akaun? Kita jumpa di Bab seterusnya

Kalau dari dulu dah buat perkara salah, ubahlah. 

Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa

BUKA AKAUN BANK

Saya percaya 80% daripada pemilik Enterprise masih gunakan akaun personal untuk berniaga. Akaun bank anda bakal dibekukan sekiranya bank melihat transaksi banyak luar biasa bagi akaun peribadi. 

Tahukah Anda?

Akaun bank peribadi mempunyai had transaksi.

“KATAKAN TIDAK” kepada bisnes ala-ala koboi tercekik. Bila kita pergi jer SSM, maksudnya kita dah mula masuk dunia perniagaan. Asingkan hal peribadi dengan hal perniagaan.

Buka akaun bank, urus akaun bank dan urus bisnes dengan cara yang betul. Lakukan sesuatu perkara dengan betul pada pertama kali. Kalau anda pemilik bisnes hanya kerap pergi ke kelas menaikkan jualan, mencantikan promosi sini sana tetapi pengurusan perniagaan masih lemah, bisnes anda tidak mampu pergi jauh.

Masalah biasa pemilik bisnes gagal buka akaun bank adalah kerana 2 sebab utama iaitu:

1. Susah nak cari "introducer"
2. Modal buka akaun, lebih kurang dalam RM500 - RM2500

2019 adalah tahun yang mencabar, setiap tahun baru adalah mencabar. Jika 2 perkara kecil di atas kita rasa berat, macam batu ada duduk atas kepala. Maknanya kita belum bersedia rempuh halangan yang bakal datang.

Saya beri anda 4 cadangan untuk selesai masalah pertama:

1. Tulis status di facebook dengan ayat begini 

"Assalammualaikum sahabat, saya mencari introducer untuk buka akaun bank __________. Sudi kiranya membantu saya yang baru nak mula bisnes. Semoga Allah sahaja membalas jasa sahabat"

Jika ada yang sudi membantu, belikan buah tangan sebagai hadiah. Apa salahnya kita meminta bantuan. Tidak rugi satu sen pun jika kita merendahkan ego untuk meminta bantuan.

2. Tanya pegawai bank 

"Tuan/Puan dengan siapa saya boleh minta bantuan intoducer ni, sebab saya baru di kawasan ini. Boleh bantu saya?"

Percayalah, kita akan dibantu kalau kita ingin dibantu.

3. Jumpa saya jika anda ingin buka Akaun Maybank atau CIMB Bank. Email saya di ams.menara@gmail.com dengan tajuk email "INTRODUCER EBOOK"


Apa bagusnya bila bisnes kita ada akaun bank?

📌 Kita akan menjadi lebih disiplin
📌 Kita akan dilihat serius oleh bakal pelanggan
📌 Mudah dalam menguruskan kewangan
📌 Pekerja akan mudah faham perjalanan perniagaan
📌 Bila pekerja tidak pening, pekerja tidak akan lari


KATEGORI PERNIAGAAN DI MALAYSIA

Kedua-dua kategori perniagaan ini boleh dibezakan dengan ciri-ciri yang dinyatakan di bawah. Ciri-ciri ini tidak boleh dikatakan sebagai kekurangan atau kelebihan tetapi lebih kepada ciri-ciri yang membezakan di antara keduanya.

MILIKAN TUNGGAL 

  • Perniagaan ini boleh didaftarkan oleh seorang individu sahaja.
  • Cukai dikenakan ke atas individu tersebut dan tertakluk di bawah Akta Cukai Pedapatan 1967
  • Perniagaan perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197)
  • Liabiliti TIDAK TERHAD; jika kerugian, harta milik peribadi perlu digunakan untuk menjelaskan hutang perniagaannya.
  • Segala keuntungan adalah dimiliki oleh pemilik sendiri. Begitu juga dengan kerugian.


PERKONGSIAN

  • Perniagaan ini boleh diidaftarkan oleh minimum 2 orang dan tidak melebihi 20 orang
  • Cukai dikenakan ke atas Ahli Kongsi mengikut peratusan keuntungan
  • Tertakluk di bawah Akta Perkongsian 1961
  • Liabiliti TERHAD & TIDAK TERHAD
  • Liabiliti TERHAD didaftarkan dibawah Syarikat PLC yang baru diperkenalkan pada 2012 dan tertakluk di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012
Perkongsian Liabiliti Terhad tidak akan di sentuh di dalam ebook ini.


Perniagaan berlabel Enterprise berkongsi satu perkara yang sama iaitu tempoh perakaunan. Perniagaan berlabel Enterprise mempunyai tempoh perakaunan dari 01 Januari sehingga 31 Disember setiap tahun, tidak kira bulan mana kita berdaftar dengan SSM tetap bulan akhir perakaunan kita adalah 31 Disember.

Sdn Bhd juga merupakan salah satu daripada kategori perniagaan di Malaysia. Perbezaan keempat-empat kategori ini boleh dirujuk di dalam jadual berikut


PANDUAN MENDAFTARKAN PERNIAGAAN

Panduan lengkap di bawah untuk anda mula label Enterprise. Sebelum mengisi borang fikirkan 3 hingga 5 nama perniagaan yang anda cadangkan. Ini bagi mengelakkan anda tiada alternatif nama sekiranya nama cadangan anda telah didaftarkan. Seterusnya, boleh ikuti langkah-langkah berikut:

LANGKAH PERTAMA

Lengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan mengisi maklumat seperti berikut:

a) Nama perniagaan
b) Tarikh permulaan perniagaan
c) Alamat utama perniagaan
d) Alamat cawangan perniagaan (jika ada)
e) Maklumat pemilik dan rakan kongsi
f) Jenis perniagaan yang akan dijalankan
g) Kemukakan salinan perjanjian perkongsian (jika ada)

LANGKAH KEDUA

Pemilik dan rakan kongsi hendaklah menandatangani di ruangan maklumat pemilik dan di ruangan pengesahan oleh pemilik tunggal/rakan kongsi.

LANGKAH KETIGA

Pemilik / semua rakan kongsi perlu hadir untuk urusan pendaftaran atau secara online melalui perkhidmatan Ezbiz Online di laman web ezbiz.ssm.com.my.


Dokumen yang perlu dilampirkan:

a) Surat Kebenaran atau Surat Sokongan bagi jenis perniagaan Taska (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah/Kolej Pendidikan (Kementerian/Jabatan Pendidikan)

b) Surat kebenaran atau sokongan daripada agensi berkaitan sekiranya diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN

1. Pemilik mestilah Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap
2. Pemilik mestilah berumur 18 tahun ke atas
3. Pemilik/rakan kongsi sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan.

FI PENDAFTARAN

1. Perniagaan pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti di kad pengenalan – RM30.00.

2. Perniagaan pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred - RM60.00.

3. Pendaftaran cawangan – RM5.00 setiap cawangan.

4. Cetakan Maklumat Perniagaan – RM10.00